JERANTUT – Kebimbangan penduduk Orang Asli yang mendiami penempatan di Pos Betau dan Pos Lenjang di Lipis dekat sini ekoran pencerobohan gajah liar mendapat perhatian Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Perhilitan menerusi Unit Tangkapan Gajah (UTG) dan renjer akan memantau pergerakan gajah liar yang masuk ke kampung Orang Asli bagi memastikan keselamatan penduduk.
“Saya berharap penduduk jangan bertindak sendiri atau mendekati gajah liar untuk menghalau, sebaliknya segera menghubungi Perhilitan untuk pemantauan dan tangkapan.
“Kita juga akan memasang Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di kawasan laluan gajah di perkampungan Simoi Lama dan beberapa penempatan di Lipis dan Cameron Highlands,” katanya di sini baru-baru ini.
Berita berkaitan: Ibu tujuh anak mati dipijak gajah liar
Menurutnya, penerokaan kawasan baharu melibatkan penebangan hutan menjadi sebab utama kawanan gajah liar keluar dan menceroboh penempatan dan tanaman penduduk.
Katanya, konflik antara gajah dengan manusia turut berlaku di Kelantan, Kedah, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Terengganu.
“Pemasangan SPEG ini antara alternatif terbaik bagi menghalang gajah liar daripada terus menceroboh perkampungan penduduk.
“Sejak 2009, sebanyak 18 Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) dibina di sepanjang 305.6 kilometer Semenanjung Malaysia melibatkan kos mencecah RM13.4 juta,” katanya.
Abdul Kadir berkata, gajah liar yang ditangkap akan dipindahkan ke tiga buah pusat konservasi iaitu Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Lanchang di Pahang, Perkampungan Konservasi Gajah Tasik Kenyir (KECV) dan Pusat Santuari Gajah (JES) Fasa 1 di Kota Tinggi, Johor.
Beliau memberitahu, sepanjang tahun lalu, UTG Perhilitan telah melakukan 30 operasi memindahkan gajah di seluruh negara.