KUALA TERENGGANU – Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memerintahkan demikian selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong itu gagal hadir untuk memberi keterangan berhubung perbicaraan petisyen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Marang.
Terdahulu, beliau mengarahkan Mohd. Nor yang juga Bendahari Pas Terengganu untuk memberi keterangan terhadap kes tersebut pada prosiding kes sama Isnin lalu.
Kegagalan Mohd. Nor hadir ke mahkamah hari ini menyebabkan peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman yang mewakili Barisan Nasional (BN) memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap Exco kerajaan Terengganu tersebut.
Mahkamah menetapkan perbicaraan bagi petisyen pilihan raya melibatkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang terbabit bersambung semula pada Ahad ini.
Kosmo! pada 12 Februari lalu melaporkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menolak bantahan awal dikemukakan Abdul Hadi untuk membatalkan petisyen tersebut yang difailkan calon BN.
Tarikh perbicaraan penuh bagi petisyen itu ditetapkan pada 6 hingga 21 Mac ini.
Sebelum ini, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman pada 3 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE