PETALING JAYA – Seorang lelaki diludah mat salih disebabkan merebut semula tempat beratur yang dipotong lelaki tersebut ketika menunggu teksi.
Menerusi perkongsian hantaran @brdthrnry di Twitter, ketika dia sedang beratur menunggu teksi secara tiba-tiba datang seorang lelaki memotong barisannya.
“Baru sahaja mengalami kejadian yang tidak menyenangkan hari ini. Saya betul-betul beratur untuk menaiki teksi dan datang pula seorang mat salih yang kebetulan memotong barisan.
“Apabila teksi tiba, saya cepat-cepat masuk dan menepisnya untuk beratur tetapi yang mengejutkan saya, dia meludah saya,” katanya dalam hantaran itu.
Menurut gambar yang dimuat naik, dipercayai kejadian tersebut berlaku di ruangan menunggu bas Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park, Kuala Lumpur.
Sementara itu, orang ramai turut berkongsikan pengalaman yang sama apabila berdepan dengan individu yang berperangai sedemikian ketika menunggu pengangkutan awam.
“Pernah jadi dekat diri saya juga, namun pemandu teksi tahu saya menunggu lebih awal daripada orang yang memotong barisan. Selepas naik teksi dia menjerit dekat saya,” kata @millanials
“Saya pula masa dalam LRT, masa nak keluar (tren) dia tolak nak keluar cepat-cepat, saya terus marah ‘mat salih’ itu depan-depan,” kata @iamrafffffff.
“Lagi satu mat salih paling susah pakai pelitup muka dalam kenderaan pengangkutan awam,” kata @hakimilotabur. -KOSMO! ONLINE.