KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan sebanyak 2,804 aduan diterima sejak Januari 2019 hingga Januari lepas dan kira-kira 1,625 daripadanya adalah aduan berkaitan kandungan bersifat lucah.
Menteri Komunikasi Digital (KKD), Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah tersebut juga sebanyak 564 aduan adalah berkaitan maklumat palsu dan 541 lagi adalah kandungan jelik.
Justeru katanya, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) perlu dipinda bagi langkah memperbaiki aspek keselamatan dan rangkaian susulan peningkatan penggunaan dan kebergantungan orang ramai tehadap perkhidmatan digital merupakan antara objektif utama.
“Pindaan itu juga bagi menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia di negara ini demi keperluan masa hadapan, memandangkan akta itu tidak pernah dipinda sejak 25 tahun lepas.
“Akta ini belum pernah dipinda dan semestinya kita tahu 25 tahun lalu dan sekarang serta 25 tahun akan datang, keadaan teknologi, penggunaan, platform yang ada, juga sangat berbeza.
“Jadi, bila pihak kementerian meneliti secara keseluruhan memandangkan perubahan yang besar sedang berlaku contohnya kalau dulu kita cuma guna 2G dan 3G, sekarang ada 5G,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Kevin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang ingin tahu mengenai hasrat kementerian untuk meminda Seksyen 233 Akta 588 bagi memastikan ia tidak disalah guna.
Fahmi turut berharap agar Ahli Parlimen, pertubuhan bukan kerajaan, orang ramai dan pakar perundangan dapat memberikan maklum balas kepada kementerian bagi menambah baik undang-undang tersebut. – KOSMO! ONLINE.