JOHOR BAHRU – Keadaan banjir di negeri ini menunjukkan perkembangan positif setelah jumlah mangsa berkurangan kepada 31,680 setakat pukul 8 pagi tadi.
Jumlah itu membabitkan 8,992 keluarga yang ditempatkan 107 pusat pemindahan sementara (PPS), menurut maklumat terkini oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu mencatatkan penurunan berbanding 35,230 penduduk daripada 9,913 keluarga semalam.
Beliau berkata, Muar pulih sepenuhnya daripada banjir setelah PPS di Balairaya Kampung Jawa, Bukit Kepong, Pagoh yang menempatkan 42 mangsa daripada 14 keluarga ditutup semalam.
“Batu Pahat masih merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu menunjukkan penurunan mangsa banjir dengan 31,581 orang (8,966 keluarga) di 103 PPS. Daerah Tangkak kekal dengan jumlah mangsa 24 orang (tiga keluarga) ditempatkan di satu PPS.
“Begitu juga di Segamat, jumlah mangsa kekal iaitu 75 mangsa (23 keluarga) di tiga PPS,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, empat jalan di daerah Batu Pahat masih belum boleh dilalui oleh kenderaan berat kerana banjir iaitu Jalan Parit Haji Arif/Sri Dayung, Jalan Parit Jambi, Jalan Yong Peng- Muar dan Jalan Haji Arif.
“Manakala lapan lagi jalan hanya dibuka untuk kenderaan berat sahaja, antaranya Jalan Parit Warijo, Jalan Sri Bengkal, Jalan Parit Jalil, Jalan Bindu, Jalan Panchor dan Jalan Parit Karjo,” katanya.-KOSMO! ONLINE