SERDANG – Selepas merasai sendiri pengalaman menaiki Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa berpuas hati dengan tahap kebersihan perkhidmatan tersebut.
Katanya, dari segi aspek penyelenggaraan dan kawalan keselamatan MRT ini juga berada pada tahap yang baik.
“Alhamdulillah baik dan kita ajak rakyat gunakan dulu secara percuma sehingga 31 Mac dan saya tanya tadi dari segi maintenance (penyelenggaraan) dari segi pengawasan, pengawalan, kebersihan semuanya dikawal.
“Kita minta pengguna juga bagi kerjasama dan Kementerian Pengangkutan sedang merangka strategi agar pengangkutan awam jadi pengangkutan utama rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di stesen MRT Putrajaya Sentral.
Terdahulu, Anwar turut melancarkan pembukaan sepenuhnya MRT Laluan Putrajaya di Depot MRT Serdang, di sini pagi tadi.
Laluan tersebut melibatkan keseluruhan laluan di Putrajaya merangkumi 57.7 kilometer (km) yang terdiri daripada 36 stesen bermula dari Kwasa Damansara ke Putrajaya.
Dalam pada itu, tempoh perjalanan MRT Laluan Putrajaya ini mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk pengguna berulang-alik dari Lembah Klang ke Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE