JOHOR BAHRU – Ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di negeri ini boleh dikenakan tindakan dan dipecat sekiranya membenarkan penceramah tanpa tauliah memberi ceramah di Johor.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah menegaskan bahawa mana-mana penceramah agama yang hendak menyampaikan ceramah di Johor mestilah memiliki tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Titah Sultan Johor, semua AJK masjid dan surau yang hendak menganjurkan ceramah agama wajib mendapatkan kebenaran daripada MAINJ melalui Pejabat Kadi Daerah.
Baginda bertitah, mereka perlu menyatakan secara terperinci tajuk ceramah serta perkara yang ingin disampaikan ketika memberi ceramah agama.
“Sekiranya ada mana-mana Masjid dan Surau yang gagal patuhi peraturan ini, maka semua AJK masjid dan surau itu akan diambil tindakan dan dipecat.
“Tindakan ini bukanlah untuk menghalang program penyebaran ilmu Islam tetapi adalah untuk kawal penyebaran fahaman yang menyeleweng dan terpesong daripada hukum syarak yang berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini,” titahnya pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah, keadaan ini juga untuk mengawal golongan pelampau agama yang boleh mencetuskan kekeliruan kepada umat Islam dan golongan muda yang kurang berilmu.
“Sehubungan itu juga, kerajaan harus meningkat mutu pendidikan di sekolah dan pusat pengajian tinggi bagi melahirkan generasi masa depan yang tinggi ilmu pengetahuan,” titahnya.-KOSMO! ONLINE