fbpx

Aidilfitri tak meriah, kos sara hidup tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
HARRITH HISHAM,
WARTAWAN EKSEKUTIF

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dijangka tidak semeriah tahun 2022 apabila ramai masih bergelut dengan isu kos sara hidup dan juga pekerjaan.

Lebih runsing, persiapan raya kali ini juga bertindih dengan persekolahan anak-anak yang menelan belanja agak besar.

Lazimnya, ramai akan mula membeli-belah kelengkapan raya pada bulan Ramadan yang di­jangka bermula pada 23 Mac ini.

Kos perbelanjaan tersebut dianggarkan mencecah RM1,000 sehingga RM5,000 bagi orang ­bujang dan keluarga yang mempunyai seorang hingga empat orang anak.

Ia disebabkan, ada segelintir yang mengambil kesempatan untuk membuat pengubahsuaian deko rumah dengan membeli perabot, langsir, juadah raya dan perkakasan hidangan baharu termasuk duit perjalanan balik kampung.

Bukan itu sahaja, pembelian baju Melayu dan baju kurung baharu juga menjadi rebutan orang ramai untuk tampil lebih menarik walaupun harga pakaian tersebut kini mencecah sehingga RM200 sepasang.

Meskipun dilihat seperti norma­ masyarakat kita, namun ia mengundang risiko untuk terjebak dalam pinjaman peribadi baik yang ‘halal’ (berlesen) mahupun ‘haram’ (tidak berlesen).

Seperti yang dilaporkan Kos­mo! baru-baru ini, ramai yang memilih untuk membuat persiapan lebaran pada saat akhir be­risiko terjebak dengan pinjaman ah long apabila rambang mata untuk membeli barangan yang mempunyai diskaun yang akhir­nya mengundang pembaziran.

Berdasarkan rekod tahun lalu, sikap boros segelintir masyarakat ketika hari raya telah memaksa mereka membuat pinjaman daripada 500 syarikat pinjaman wang berlesen di seluruh negara sehingga mencecah RM1 juta.

Walaupun pinjaman dibuat mungkin kecil, namun perbuatan itu dilihat seakan mengundang musibah tatkala menjerat diri dengan perangkap beban hutang.

Ini kerana, akhirnya jumlah pinjaman itu akan menjadi besar selepas dikira dengan kadar faedah yang terlalu tinggi dan tidak munasabah.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia harus mengubah pendekatan mereka terhadap sambutan hari raya dan mengamalkan sikap berhemah dalam berbelanja.

Tidak perlu tunggu hari raya untuk melunaskan semua per­kara dan digalakkan untuk membuat perancangan rapi dan persiapan dua atau tiga bulan lebih awal supaya tidak boros.

Menurut Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr. Mohamad Fazli­ Sabri, perbelanjaan bermusim ini bukan sesuatu yang dijangkakan, contohnya sesi baharu persekolahan dan pe­rayaan yang mana berlaku setiap tahun.

“Semua ini adalah sesuatu yang kita boleh rancang lebih awal dan simpan bajet per­belanjaan. Apa yang jadi masalah apabila tak rancang dan tempuh saja bila tiba masa, itu yang jadi masalah,” katanya.

Lantaran itu, orang ramai dinasihatkan untuk elakkan membuat pinjaman peribadi atau berhutang dengan ah long meskipun promosi pinjaman hari raya sudah banyak dimainkan di media sosial sejak kebelakangan ini.

Jika diingat kembali sewaktu fasa pandemik Covid-19, ramai tidak kisah untuk sambut raya secara sederhana. Justeru, jadikan ia sebagai norma baharu untuk masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI