fbpx

Watak Ybeeee, Curry Spice dalam diri Jo Kukathas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA watak ikonik yang cukup sebati dengan Kukathas iaitu Ybeeee (kiri) dan Curry Spice akan menemui peminat dalam Instant Cafe Night Live! Edisi X pada Sabtu ini di Dewan Plenary KLCC.

TIDAK mahu menggelarkan diri sebagai ‘stand up comedian’, pelakon, penulis dan pengarah, Jo Kukathas mengakui dia sebenarnya bukan seorang yang kelakar.

Kukathas yang juga pengasas Instant Cafe Teater (ICT) sebaliknya sedar karakter Ybeeee (Yang Berhormat) dan Curry Spice yang selama ini menjadikan dirinya berbeza dan menghiburkan.

“Saya tidak melihat diri sendiri sebagai stand up comedian kerana saya berada di atas pentas komedi membawa watak lain.

“Dua watak iaitu Ybeeee dan Curry Spice yang membuatkan saya kelakar.

“Sebenarnya saya sendiri kagum dengan pelawak solo yang boleh berjenaka di atas pentas dengan menjadi diri sendiri. Saya tidak mampu nak buat begitu,” ujarnya.

Pelawak itu akan muncul dengan pementasan Instant Cafe Night Live! Edisi X yang akan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 18 Mac ini (Sabtu).

KUKATHAS mengakui dirinya hanya kelakar ketika membawa watak Ybeeee dan Curry Spice.

Pementasan kali ini menyaksikan dia menyentuh tentang keadaan politik semasa negara yang masih hangat diperkatakan.

“Kali ini, Ybeeee memperlihatkan tentang cara dia bertahan dalam persekitaran yang tiada toleransi dengan rasuah.

“Dia cuba mengelak daripada pembersihan dan kes-kes mahkamah. Akhirnya Ybeeee berjaya bertahan, menempatkan diri dalam parti gabungan dan berada dalam Kabinet!” ujarnya menerangkan watak tersebut.

Sementara itu menjelaskan watak Curry Spice pula, dia digambarkan sebagai wanita berani, bertenaga dan lantang bersuara dalam perkara yang difikirkan tidak betul.

“Jika diberi pilihan saya lebih suka watak Curry Spice kerana membuatkan saya yakin dan mahu jadi macam dia.

“Watak ini banyak mempersoalkan tentang kerajaan dan masalah yang dihadapi golongan muda berkaitan isu-isu semasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, berkongsi tentang cabaran pementasan, Kukathas berkata, dia perlu melakukan pertukaran watak dengan pantas.

“Bertukar karakter daripada Ybeeee ke Curry Spice memang mencabar. Ybeeee saya perlu berpakaian seperti YB dan bersongkok, manakala Curry Spice pula saya kena tukar baju dan pakai rambut palsu keriting.

“Semuanya perlu dilakukan dengan pantas dan selalunya saya hanya sempat minum segelas air,” ceritanya.

KUKATHAS mengakui seronok membawa watak Curry Spice yang lantang dalam bercakap isu semasa.

Di sebalik itu, timbul perasaan gementar dalam diri Kukathas kerana akan mengadakan persembahan di atas pentas besar seperti Dewan Plenary.

“Saya selalu gementar sebelum pementasan. Tapi bila saya melangkah ke pentas dan bertukar menjadi Ybeeee atau Curry Spice, perasaan takut hilang serta-merta dan semuanya berjalan lancar. Saya hanya perlu percayakan kedua-dua watak itu,” ujarnya.

Pementasan dengan kolaborasi antara Shiraz Project dan The Instant Cafe Theatre tersebut dipentaskan untuk satu malam sahaja.

Tiket dijual pada harga RM588 (Meet & Greet), RM388 (Diamond), RM288 (Platinum) dan RM188 (Silver). Buat pertama kali tiket serendah RM88 ditawarkan kepada golongan B40.

Instant Cafe Night Live! Edisi X akan dikemudikan oleh penyanyi, Sean Ghazi dan pelawak, Kuah Jenhan sebagai hos.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI