PETALING JAYA – Seorang warga emas terpaksa menahan sakit lebih 10 minit akibat tersepit setelah van dinaikinya melanggar sebuah lori kontena di Jalan Bukit Angkat, Kajang, tengah hari tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.51 tengah hari sebelum menggerakan seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang beserta sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).
“Setibanya di lokasi kejadian pada pukul 12.59 tengah hari, terdapat sebuah van jenis Nissan Vanette telah melanggar sebuah lori kontena jenis Hino.
“Kaki pemandu van yang merupakan seorang lelaki berusia 68 tahun itu tersepit di bahagian pemandu dan mangsa mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya, mangsa dikeluarkan oleh pihak Bomba dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE