KUALA NERUS – UMNO enggan memikirkan tentang kerjasama Muafakat Nasional (MN) yang pernah dirintis bersama Pas pada tahun 2019.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Zamidi berkata, soal MN terus hidup atau terkubur bakal ditentukan oleh kepimpinan yang menerajui kedua-dua parti tersebut.
Jelas beliau, buat masa ini, UMNO mengambil sikap masih husnuzon iaitu bersangka baik terhadap kerjasama tersebut walaupun fokus parti tersebut lebih terarah untuk mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.
“Soal Muafakat Nasional bergantung kepada siapa akan memimpin parti yang mengambil jalan untuk mufarakah (membubarkan).
“Mungkin jika ada pertukaran kepimpinan mungkin hala tuju mereka (MN) akan berubah,” katanya ketika ditemui selepas sesi pengenalan calon pemilihan UMNO peringkat Terengganu di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, UMNO sentiasa berfikiran progresif demi kepentingan ummah.
Begitupun, Timbalan Perdana Menteri itu memberi gambaran hubungan UMNO dan Pas sukar untuk dipulihkan berdasarkan situasi masa kini.
“Dalam situasi sekarang, saya tidak nampak ‘itik’ yang patah kaki harus kita sambung kakinya untuk berenang.
“Biarlah dia berenang ke lautan luas dan terbang walaupun kepaknya patah,” katanya. – KOSMO! ONLINE