MADRID – Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti menyeru agar barisan pemain tetap berwaspada dengan kebangkitan yang cuba dilakukan oleh Liverpool menjelang aksi kedua pusingan 16 terbaik saingan Liga Juara-Juara awal pagi esok.
Sebagai rekod, skuad The Galacticos seperti sudah meletakkan sebelah kaki di pusingan suku akhir selepas melakar kemenangan bergaya 5-2 ke atas wakil Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield bulan lalu.
Kata Ancelotti, pengalaman musim lepas yang mana pasukannya hampir tewas kepada Chelsea selepas mendahului agregat 3-1 tetap menjadi pengajaran berharga buat barisan pemain untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama.
“Situasi kali ini sama seperti aksi suku akhir musim lepas kerana kita menang 3-1 pada aksi pertama sebelum Chelsea dapat melakar kebangkitan pada aksi kedua. Cuma, ketika itu nasib menyebelahi pasukan apabila kita mara hasil jaringan saat akhir.
“Justeru, kelebihan 5-2 ini tidak memberikan sebarang makna kerana masih ada 90 minit perlawanan dan apa sahaja boleh berlaku, tetapi kelebihan kita sekarang adalah dapat bermain di laman sendiri,” katanya.
Sementara itu, pemain sayap Real, Vinicius Jr. mahu rakan-rakan sepasukan melupakan seketika prestasi tidak konsisten di peringkat La Liga dengan mara ke saingan suku akhir Liga Juara-Juara musim ini.
“Kita adalah juara bertahan dan sudah tentu pemain begitu bersemangat untuk pamerkan yang terbaik di atas padang nanti. Cuma, saya mahu pasukan kekal tenang dan bermain seperti biasa dalam memastikan kelebihan yang dimiliki dapat dikekalkan,” katanya. – AGENSI