fbpx

Tiket ‘sold out’ dalam 24 jam, Ella menangis terharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIKET konsert Ella yang dijadualkan Jun nanti telah habis terjual.

PETALING JAYA – Ratu Rock negara, Ella menitiskan air mata terharu apabila lebih 10,000 tiket Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota habis disambar peminat dalam tempoh 24 jam dijual secara online.

Katanya, dia tidak menyangka sokongan peminat sebegitu hebat hingga senario tersebut mencatatkan sejarah sebagai jualan tiket artis Malaysia paling laris pernah dianjurkan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

“Tiada kata-kata yang mampu saya luahkan atas kasih sayang serta sokongan ditunjukkan peminat terhadap pengembaraan seni saya sehingga ke saat ini iaitu 35 tahun bergelar penyanyi.

“Sebaik dimaklumkan Hitman Solutions selaku penganjur konsert ini, saya tergamam dan menitiskan air mata kerana perasaan gembira serta rasa terharu bercampur baur.

“Terima kasih buat peminat Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan mereka yang DM (mesej) saya dari luar negara, begitu juga kepada Hitman Solutions dan pengurusan saya, RockQueen,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Ditanya sama ada penganjur sedang mempertimbangkan mahu menambah hari konsert berikutan sambutan luar biasa itu, Ella atau Nor Zila Aminuddin, 57, hanya menyerahkan perkara itu kepada pihak terbabit.

Begitupun akuinya, selepas konsert yang dijadualkan pada 10 Jun depan, dia dan Hitman Solution mempunyai pelbagai pelan istimewa dalam memenuhi permintaan ramai.

“Memang ramai juga mesej langsung dalam IG (Instagram) yang minta kami tambah satu lagi malam untuk Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota.

“Ikutkan dalam hati Ella nak puaskan hati semua orang sebab kerana merekalah Ella bertahan sampai sekarang, tapi selepas ini banyak lagi rancangan yang kami senaraikan untuk peminat. Tunggu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal, berkata pengaruh penghibur kesayangan ramai itu terus ampuh apabila jualan tiket konsertnya meraih sambutan luar biasa khalayak.

“Kejayaan ini membuktikan peminat Ella tidak berputus asa untuk mendapatkan tiket konsertnya, sekaligus membuktikan Ella sebagai Ratu Rock negara yang tiada tolok banding,” katanya.

Tiket konsert yang mula dijual dalam talian bermula jam 12 tengah hari kelmarin habis separuh hanya dalam tempoh dua jam sahaja.

Bagaimanapun, penjualannya dihentikan sementara apabila lebih 25,000 membanjiri laman web menunggu dapatkan tiket mengakibatkan proses pembelian tergendala seketika

Namun sebaik isu terbabit selesai dan operasi jualan disambung semula pada jam 5 petang hari sama, dua jam kemudian 90 peratus tiket berjaya terjual dan secara rasmi keseluruhan tempat di tempah pada jam 12 tengahari semalam.

Sebagai simbolik 35 tahun dalam industri muzik, Ella bakal menyampaikan 35 dendangan termasuk Sepi Sekuntum Mawar Merah, Standing In the Eyes of the World, Sembilu, Baldu Biru dan Retak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI