PETALING JAYA – Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang telah dikeluarkan terhadap tiga negeri sehingga pukul 8 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi laman Facebook rasminya berkata, hujan lebat dijangka di negeri Perak melibatkan Kampar, Batang Padang dan Muallim.
“Bagi Sarawak, cuaca buruk berkenaan diramal sekitar Kuching, Serian, Samarahan (Simunjan) dan Limbang.
“Sementara di Sabah, kawasan yang terlibat adalah di sekitar Pedalaman (Sipitang dan Beaufort),” katanya.
Katanya, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter (mm) per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. – KOSMO! ONLINE