SUBANG JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah berjumpa dengan pengusaha kedai makanan di Bayan Lepas susulan dakwaan pihak tersebut mengalami kerugian selepas memperkenal Menu Rahmah.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kementeriannya tidak pernah memaksa mana-mana perniagaan, pengusaha dan pemain industri makanan baik besar mahupun kecil untuk melibatkan diri di dalam penjualan Menu Rahmah.
“KPDN tidak memaksa peniaga untuk menjual Menu Rahmah. Kita panggil mereka yang ada kedai, yang ada nama.
“Di samping mereka menjual menu premium mereka, ada satu menu yang disumbangkan. Itu konsepnya,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran kempen Klasiknya Raya di Mydin Subang Jaya.
Katanya, beliau telah meminta pegawainya berjumpa dengan pengusaha terbabit sekali gus membantunya.
“Sesiapa yang mahu laksanakan jualan Menu Rahmah ini, mereka boleh buat.
“Kita menerima banyak respon positif daripada peniaga-peniaga kecil dan Menu Rahmah ini turut dilihat sebagai ‘enjin ekonomi’,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, seorang pemilik restoran di Jalan Bukit Kecil, Bayan Lepas di Pulau Pinang mendakwa terpaksa menghentikan jualan Menu Rahmah selepas dikatakan tidak mendapat sambutan. – KOSMO! ONLINE