PETALING JAYA – Datin Seri Rosmah Mansor menafikan sekeras-kerasnya tuduhan mengaitkan dirinya terlibat dalam urusan pemilihan UMNO termasuk mempengaruhi kemenangan atau kekalahan mana-mana calon.
Isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu berkata, beliau tidak mempunyai apa-apa daya dan sebarang kuasa untuk masuk campur serta mempengaruhi perwakilan yang mengundi.
Menurut Rosmah, beliau juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika fitnah dan tuduhan liar berkenaan berterusan.
“Saya tidak mempunyai sebarang jawatan dalam UMNO dan begitu juga Datuk Seri Najib, maka seharusnya saya tidak dikaitkan dengan sebarang isu semasa pemilihan ini.
“Saya tidak menafikan bahawa masih ramai ahli-ahli UMNO yang sayangkan kepada Datuk Seri Najib sehingga sekarang. Di atas segala jasa dan bakti beliau terhadap negara dan parti sejak berusia 23 tahun.
“Fokus saya ketika ini hanyalah untuk memperjuangkan keadilan buat suami saya serta menjaga kebajikan keluarga saya. Terlalu banyak dugaan sejak beberapa tahun ini yang perlu saya dan keluarga harungi, masakan pula saya mempunyai masa dan upaya untuk campur tangan dalam urusan pemilihan UMNO,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Mengulas mengenai kemenangan anaknya, Nooryanaa Najwa atau lebih dikenali dengan Yana, beliau turut menafikan mempunyai apa-apa pengaruh yang menyumbang kepada kemenangannya.
Jelasnya, kemenangan Yana itu adalah hasil usaha dan atas tekadnya sendiri untuk turun ke bawah berkempen di semua negeri.
Kata beliau, Yana juga sentiasa mengikut segala nasihat bapanya yang mana kalau nak berpolitik perlu mula daripada bawah dan santuni rakyat serta ahli-ahli UMNO di semua peringkat.
“Bagi yang mengikuti perkembangan Yana, sejak Datuk Seri Najib dipenjara dia telah merantau ke seluruh negara dan berjumpa dengan ahli-ahli UMNO dibawah.
“Sudah berbulan-bulan lamanya Yana turun padang dari Perlis sampai ke Sabah, jika dihitung mungkin ribuan jumlahnya yang telah Yana bertemu muka dan menjalankan persahabatan terutama dikalangan Wanita, Puteri dan Ketua-Ketua Bahagian UMNO.
“Dari siang hingga ke malam, tak berhenti sehinggakan Yana terpaksa meninggalkan anak-anaknya bersama saya malahan Adam pula sedang mengalami demam panas ketika itu. Sayalah yang susah hati siang dan malam menjaga Adam yang sedang sakit,” jelasnya.
Terdahulu, dalam pemilihan UMNO, Yana telah dipilih sebagai Ketua Puteri UMNO Lembah Panai selain tersenarai dalam barisan jawatan Exco Puteri.
Dalam pada itu, Rosmah berkata, beliau malah mendoakan yang terbaik buat mereka yang bertanding pada pemilihan kali ini dan memberikan sokongan moral agar beroleh kemenangan.
“Semoga perwakilan menilai keikhlasan dan kesetiaan mereka yang boleh diterjemahkan kepada parti. Ada kawan-kawan yang setia dengan kami juga mengalami kekalahan, jika saya campur tangan bagaimana mereka ini semua boleh kalah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE