fbpx

Saham bank di seluruh dunia merudum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saham bank-bank di seluruh dunia jatuh kelmarin berikutan institusi perbankan SVB runtuh pada Jumaat lalu. - Foto AFP

WASHINGTON – Saham bank-bank di seluruh dunia jatuh kelmarin walaupun Presiden Joe Biden memberi jaminan bahawa sistem kewangan di Amerika Syarikat kukuh dan dalam keadaan selamat, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Situasi itu berlaku selepas pihak berkuasa AS terpaksa bertindak untuk melindungi deposit para penyimpan susulan keruntuhan Silicon Valley Bank (SVB) dan Signature Bank de­ngan Biden berjanji untuk me­lakukan apa sahaja yang perlu bagi melindungi sistem perbankan AS.

Bagaimanapun, pelabur-pe­labur masih bimbang institusi pemberi pinjaman lain mungkin terjejas akibat kejutan tersebut. Kebimbangan mereka mendorong kejatuhan mendadak harga saham di seluruh dunia.

Nilai saham bank Santander dan Commerzbank masing-masing dari Sepanyol serta Jerman, menjunam lebih 10 peratus pada satu ketika dalam dagangan kelmarin.

Kelmarin juga menyaksikan bank-bank lebih kecil di AS mengalami kerugian lebih teruk daripada bank-bank serupa di Eropah walaupun selepas meyakinkan pelanggan bahawa mereka mempunyai aliran tunai lebih daripada mencukupi untuk bertahan dalam situasi kejutan secara tiba-tiba.

Ketidaktentuan itu membawa kepada spekulasi bahawa Rizab Persekutuan AS akan menghentikan rancangan untuk terus menaikkan kadar faedah seperti yang dicadangkan kerajaan bagi ‘menjinakkan’ inflasi.

Biden berkata, orang ramai dan entiti perniagaan yang telah mendepositkan wang dalam SVB akan memperoleh semua wang masing-masing di bank tersebut mulai kelmarin selepas kerajaan bertindak melindungi deposit mereka sepenuhnya.

Ramai pelanggan perniagaan bank berkenaan menghadapi prospek tidak dapat membayar gaji pekerja dan pembekal masing-masing selepas dana milik mereka dibekukan.

Seorang wartawan teknologi Amerika Utara bersama BBC, James Clayton bercakap kepada orang ramai yang beratur sepanjang hari di luar SVB di Menlo Park, California untuk mengakses dana masing-masing berikutan ia tidak lagi menawarkan pindahan wang antara bank.

Pihak SVB sebelum ini mengkhususkan dalam pemberian pinjaman kepada syarikat-syarikat teknologi, telah ditutup oleh pengawal selia AS yang merampas asetnya pada Jumaat lalu. Senario tersebut merupakan kegagalan terbesar bank di AS sejak krisis kewangan global berlaku pada 2008.

SVB sebelum ini cuba me­ngumpulkan wang untuk menutup kerugian hasil jualan aset yang terjejas akibat kadar faedah lebih tinggi, manakala berita tentang masalah tersebut mendorong pelanggan berlumba-lumba untuk mengeluarkan simpanan masing-masing yang membawa kepada krisis kecairan tunai.

Pada Ahad lalu, pihak berkuasa AS juga mengambil alih Signature Bank di New York. Bank mempunyai ramai pelanggan yang terlibat dengan mata wang kripto itu dilihat sebagai institusi paling terdedah kepada sentimen pelanggan yang mengeluarkan deposit masing-masing.

Bagaimanapun, Biden berjanji bahawa usaha melindungi deposit di kedua-dua bank ber­kenaan tidak akan menggunakan wang pembayar cukai, sebalik­nya ia dibiayai oleh ‘yuran’ yang dikenakan oleh pengawal selia kepada bank.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memulihkan keyakinan, pengawal selia AS juga mendedahkan cara baharu bagi bank-bank untuk meminjam dana kecemasan semasa dalam krisis.

Namun, terdapat kebim­bangan bahawa kegagalan yang berlaku selepas kejatuhan sebuah lagi institusi pemberi pinjaman AS, Silvergate Bank pada ming­gu lalu adalah petanda berlaku masalah di institusi-institusi kewangan lain.

Ketua firma Capital Econo­mics, Paul Ashworth berkata, pihak berkuasa AS bertindak agresif untuk mencegah krisis tersebut daripada merebak ke bank-bank yang lain.

“Namun, penularan krisis selalunya berpunca daripada ketakutan yang tidak rasional. Jadi, kami akan menekankan bahawa tidak ada jaminan langkah kerajaan AS ini akan berkesan,” tambahnya.

Ketua Penganalisis Kewangan firma AJ Bell, Danni Hewson berkata: “Kelegaan awal berganti dengan kebimbangan bahawa era kadar faedah tinggi kini lebih sukar ditangani oleh bank-bank berbanding jangkaan sebelum ini”.

“Di AS, saham bank-bank merosot walaupun Biden berjanji bahawa apa sahaja yang diperlukan akan dilaksanakan untuk mengelakkan kesan domino kegagalan institusi perbankan,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI