PUTRAJAYA – Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (Pakar) akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendidik masyarakat tentang bahayanya rasuah.
Presidennya, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, penubuhan Pakar juga diharap dapat membantu SPRM membentuk masyarakat berintegriti tinggi.
Beliau berkata, pihaknya sedia maklum bahawa SPRM mempunyai kekangan tenaga kerja yang terhad, justeru kerjasama sedemikian diharap dapat membantu.
“Kami difahamkan, anggota SPRM yang terlibat dalam sektor pencegahan adalah sekitar 300 orang sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis Mesyuarat Agung Pakar yang berlangsung di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Katanya, beliau berharap kehadiran Pakar akan membantu SPRM menyebar luas maklumat dan mendekati masyarakat agar tidak terjebak dengan rasuah.
“Keahlian Pakar terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat yang ikhlas berjuang memerangi amalan rasuah dan salah guna kuasa.
“Bagaimanapun, jawatan tertinggi Pakar Pusat terutama Presiden, Timbalan Presiden serta Naib Presiden harus diisi oleh mereka yang terdiri daripada bekas pegawai tertinggi SPRM sebelum ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE