fbpx

Mahkamah: Pemilik syarikat didakwa ancam bunuh Radja Band

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muremthiram mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap kumpulan muzik Indonesia, Radja Band di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

JOHOR BAHRU – Seorang pemilik syarikat pengurusan acara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap kumpulan muzik Indonesia, Radja Band, Sabtu lalu.

C. S. Muremthiram, 37, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Hidayatul Syuhada Samsudin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam mahu membunuh Ian Kasela, 49; Seno Aji Wibowo, 43 dan Mouldyanshah Mulyadi, 49, dengan niat menyebabkan mereka berasa cemas di dalam bilik rehat artis di Stadium Arena Larkin pada pukul 11.00 malam Sabtu lalu.

Atas perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, R. Amarpreet Singh.

Hadir sama, peguam pemerhati bagi kumpulan Radja Band dan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru, Mohd. Daud Ismail.

Dalam hujahannya, Amarpreet memohon wang jaminan dikurangkan berikutan tertuduh menanggung seorang isteri, ibu bapa yang uzur serta dua adiknya selain terpaksa menanggung kerugian hampir RM300,000 daripada penganjuran konsert Radja Band tersebut.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa serta saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 3 Mei depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI