fbpx

Konsert besar dilarang sehari sebelum, pada cuti umum Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi.

PETALING JAYA – Artis lelaki luar negara dilarang mengenakan pakaian seperti wanita semasa mengadakan persembahan di Malaysia.

Selain itu, artis luar negara sama ada lelaki dan wanita juga tidak dibenarkan menanggalkan pakaian semasa di pentas.

Ia merupakan antara garis panduan baharu yang ditetapkan Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Persembahan Filem Dan Persembahan Artis Luar (Puspal).

Dalam pada itu, artis luar negara juga tidak lagi dibenarkan mengadakan konsert besar dan persembahan langsung sehari sebelum dan pada hari cuti umum Islam mulai 2024.

Menurut Puspal, ia meliputi keseluruhan bulan puasa, Awal Muharram, Maulidur Rasul, Israk Mikraj, Nisfu Sya’ban, Nuzul Al-Quran, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Persembahan hanya dibenarkan pada Ogos dan September kecuali 30 dan 31 Ogos serta 15 dan 16 September untuk sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia.

Mengulas garis panduan baharu tersebut, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, kemas kini itu dibuat adalah untuk melindungi sensitiviti rakyat tempatan.

“Kami telah berunding dengan semua masyarakat termasuk orang Islam dan bukan Islam dalam merangka garis panduan yang dikemas kini.

“Pada masa sama, garis panduan itu juga dipinda selepas mendapat maklum balas daripada pemain industri,” katanya.

Menurut Fahmi, pihaknya bersetuju untuk membuat garis panduan tersebut dengan lebih jelas supaya ia lebih mudah difahami.

“Bagi artis luar negara lelaki yang dilarang berpakaian seperti wanita, kita tiada niat untuk diskriminasi,” jelasnya.

Sementara itu, selain persembahan secara langsung, garis panduan itu juga melibatkan kru filem asing yang merakam kandungan di Malaysia.

Salah satu kriteria baharu untuk penggambaran ialah skrip kandungan tersebut tidak boleh menggambarkan secara negatif mana-mana agensi keselamatan atau penguatkuasaan di Malaysia seperti polis atau pasukan tentera.

Skrip juga mesti disemak oleh Puspal untuk kelulusan sebelum boleh meneruskan penggambaran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI