GARA-GARA masih tinggal di rumah mewah dan meneruskan aktiviti beli-belah seperti biasa, pelakon Jessica Iskandar didakwa hanya ‘berdrama’ tentang masalah kewangan yang dihadapinya.
Netizen menerusi komen dalam Instagram menuduh pelakon itu hanya meraih simpati kononnya tidak mampu membayar hutang dan ansuran bank gara-gara ditipu rakan kongsi.
Bagaimanapun Jessica mempertahankan dirinya dan menjelaskan rumah baharu yang diduduki sekarang adalah milik suaminya.
“Rumah saya duduk sekarang milik suami. Untungnya ada suami yang sentiasa beri sokongan. Di sebalik semua yang terjadi ada rezeki lain juga.
“Kesibukan juga jadi ubat, jadi saya tidak terlalu fikir tentang derita yang saya lalui.
“Netizen yang komen negatif itu tidak kenal saya, mereka tidak tahu apa yang saya lalui,” ujarnya.
Jessica sebelum ini mendakwa dirinya ditipu rakan kongsi perniagaan sehingga mengalami kerugian wang yang banyak dan tidak dapat membayar hutang serta ansuran bank.