SKUAD Selangor FC percaya tiada apa yang mustahil dalam usaha meleburkan rekod bersih Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi getir Liga Super melibatkan kedua-dua pasukan di Stadium MBPJ pada Jumaat ini.
Namun, pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe optimis cabaran utama pasukan kali ini adalah memperbaiki setiap kelemahan bagi memastikan persediaan rapi dapat dibuat pada aksi menentang Harimau Selatan nanti.
Bekas pengendali Harimau Malaya itu berkata, pasukan lawan yang dikendalikan oleh Esteban Solari memiliki reputasi hebat memandangkan status mereka selaku juara Liga Super sembilan kali berturut-turut.
“Saya harap keputusan positif mampu dilakar di halaman sendiri nanti dengan syarat pemainnya harus memberikan tumpuan penuh di atas padang.
“Bukanlah sesuatu yang baru andai setiap aksi menentang JDT, semua pasukan akan cukup bermotivasi memberikan yang terbaik, termasuklah juga barisan pemain kami.
“Justeru, beberapa hari sesi latihan minggu ini akan ditumpukan bagi memperbaiki kelemahan selain kecergasan pemain kerana bukan mudah selepas kita beraksi dua perlawanan di sebelah petang.
“Situasi tersebut memang meletihkan kita tetapi sudah tentu saya yakin dengan kualiti pemain yang ada, kita mampu memberi saingan yang cukup baik dengan JDT,” katanya.
Perlawanan itu juga boleh dianggap sebagai medan ‘balas dendam’ buat skuad Gergasi Merah yang tewas pada aksi final Piala Malaysia tahun lalu kepada JDT dengan kekalahan 1-2.