LONDON – Meskipun perlumbaan Formula Satu (F1) bakal memasuki pusingan kedua, namun Ferrari dilihat semakin tertekan dan diambang krisis sejurus dikatakan bakal kehilangan beberapa ahli pasukan utamanya.
Pasukan Scuderia Ferrari memulakan kempen 2023 dengan prestasi hambar pada aksi pembukaan di Grand Prix (GP) Bahrain terutama pemandu harapan mereka, Charles Leclerc gagal menamatkan perlumbaan apabila jenteranya berdepan masalah enjin.
Penamat tempat keempat oleh Carlos Sainz di Bahrain tidak dapat memadamkan kekecewaan Ferrari selepas dipintas oleh pasukan Aston Martin, Fernando Alonso dan lebih menyedihkan Red Bull terus menguasai perlumbaan tersebut dengan kemenangan 1-2.
Prinsipal Ferrari, Frederic Vasseur yang menggantikan tempat Mattia Binotto yang meletak jawatan pada penghujung musim lalu dilihat cuba menstabilkan keadaan selepas timbul khabar angin beberapa kru utama mereka bakal meninggalkan Maranello.
Sebelum ini, pengunduran Binotto menyebabkan Ferrari kehilangan David Sanchez iaitu individu penting yang memutuskan hala tuju pembangunan jentera pasukan tersebut yang membuat keputusan menyertai McLaren musim ini.
Kali ini, Vasseur dilihat mungkin menerima tamparan apabila penolong ketua pasukan, Laurent Mekies menyatakan hasrat untuk meninggalkan Scuderia tidak lama lagi selepas dikatakan kecewa dengan gaya kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ferrari, Benedetto Vigna.
Ketika ini, Mekies yang juga merupakan pengarah perlumbaan Ferrari telah bersama pasukan Itali tersebut sejak 2018, kini dikatakan turut mendapat tawaran beberapa pasukan antaranya Alpine yang ingin memanfaatkan kepakaran yang dimiliki Mekies.
Selain Alpine, Liberty Media dan bekas majikannya FIA turut membuat tawaran kepada jurutera Perancis itu sekiranya dia benar-benar meninggalkan pasukan Ferrari. – AGENSI