LONDON – Kapten Arsenal, Martin Odegaard dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Anugerah Bola Sepak London yang berlangsung awal pagi semalam.
Pemain antarabangsa Norway itu menjadi tonggak penting The Gunners apabila meledak 10 gol dan enam umapanan jaringan musim ini sekali gus menyaksikan mereka semakin hampir menamatkan penantian selama 19 tahun untuk merangkul kejuaraan EPL.
Odegaard berjaya mengatasi cabaran daripada kapten Tottenham Hotspur, Harry Kane dan penggempur utama Brentford, Ivan Toney serta penyerang Fulham, Aleksandar Mitrovic selain rakan sepasukannya sendiri, Bukayo Saka untuk meraih anugerah berkenaan.
“Saya mahu berkongsi kejayaan ini bersama-sama seluruh pasukan. Anugerah ini membuktikan bahawa kelab ini kembali mendapat perhatian dan penghargaan semua pihak.
“Saya fikir ia menunjukkan bahawa kami telah membuktikan semangat dan kerjasama untuk kelab dan apa yang telah kami lakukan musim ini sangat istimewa,” katanya.
Biarpun tewas kepada Odegaard, Saka berjaya membawa pulang Anugerah Pemain Muda Terbaik buat kali kedua selepas memenanginya pada 2021 selain penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale menerima gelaran Penjaga Gol Terbaik Tahunan.
Sementara itu, Mikel Arteta yang turut menerima Anugerah Pengurus Terbaik memberikan penghargaan buat pada pemain, staf kejurulatihan dan para peminat ekoran kejayaan mereka menyapu bersih sebahagian besar anugerah yang dipertandingkan.
“Saya mahu berterima kasih kepada semua rakan-rakan, staf kejurulatihan, semua orang yang memberikan inspirasi buat kelab ini serta sokongan kepada saya. Sudah tentu tidak ketinggalan buat para peminat yang sentiasa teguh di belakang kelab ini,” jelasnya.
Arsenal ketika ini memiliki kelebihan lima mata di puncak liga berbanding pencabar utama, Manchester City selepas kejayaan mereka menewaskan Fulham Ahad lalu.
The Gunners akan kembali beraksi menentang Sporting Lisbon pada aksi kedua pusingan 16 pasukan terbaik Liga Europa sebelum melayan kunjungan Crystal Palace untuk aksi EPL. – AGENSI