KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyambut baik cadangan memperkenalkan undang-undang bagi mewajibkan potongan gaji terhadap anak-anak yang berkemampuan, namun tidak melaksanakan tanggungjawab kepada ibu bapa mereka.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, potongan gaji itu bagi anak-anak menghantar ibu bapa mereka di pusat jagaan atau rumah jagaan warga emas yang terdapat dalam negara.
“KPWKM menyambut baik cadangan memperkenalkan undang-undang mewajibkan potongan gaji anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka di pusat jagaan atau rumah jagaan warga emas sekiranya anak-anak berkemampuan, tetapi tidak melaksanakan tanggungjawab.
“Namun bagi yang tidak berkemampuan, KPWKM telah melaksanakan pelbagai inisiatif secara menyeluruh bagi memelihara kebajikan warga emas. KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mewujudkan perkhidmatan Rumah Seri Kenangan (RSK) dan Rumah Ehsan khusus bagi warga emas yang memerlukan.
“RSK ditubuhkan untuk memberi jagaan dan perlindungan kepada warga emas yang daif. Rumah ehsan pula untuk memberi jagaan rawatan dan perlindungan kepada warga emas yang uzur, daif dan tiada waris. Inisiatif ini dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan tanpa dikenakan sebarang bayaran kepada penghuni,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd. Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) sama ada KPWKM berhasrat memperkenalkan undang-undang yang mewajibkan potongan gaji anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka di pusat jagaan atau rumah jagaan warga emas. – KOSMO! ONLINE