fbpx

Derita dua tahun Jahidah berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail menunjukkan Jahidah masih koma akibat dipukul bekas suaminya.

SEREMBAN – Seorang adik bersyukur apabila mahkamah syariah akhirnya membenarkan permohonan fasakh yang dibuat untuk kakaknya sekali gus me­leraikan penderitaan ditanggung wanita itu selepas digantung tak bertali sejak dua tahun lalu.

Fauziah Nordin, 41, berkata, dia lega dengan keputusan itu selepas melihat penderitaan ditanggung kakaknya, Jahidah, 45, yang koma sejak dua tahun lalu akibat dibelasah secara kejam oleh bekas suaminya, Rosmaini Abdul Raof, 40, pada 4 Mei 2021.

Katanya, kakaknya kini bercerai secara sah dari segi undang-undang dan tidak sangka mahkamah akan membuat keputusan itu semalam kerana dia telah menunggu lama.

“Alhamdulillah saya bersyukur sangat sebab dah tunggu lama (kes tuntutan fasakh) kakak. Memang tak sangka mahkamah buat keputusan hari ini (semalam).

“Keluarga sudah menerima keadaan kakak (Jahidah) tetapi hanya mengharapkan pembe­laan sewajarnya buat dia. Seorang suami sepatutnya menjaga dan melindungi isteri tetapi jika tak mampu, lepaskanlah secara baik,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah di sini, membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan pada 1 Februari lalu oleh Fauziah.

Hakim Syarie, Hamizan Mohd. Nor membuat keputusan itu secara tertutup selepas berpuas hati dengan penyata ketera­ngan bertulis oleh Fauziah sebagai penjaga ad litem (orang yang tidak berupaya).

Berita berkaitan: Adik mangsa penderaan mohon fasakh buat Jahidah

Berita berkaitan: ‘Allah uji kakak Jahidah, saya’

Fauziah dilantik oleh mah­kamah sebagai penjaga ad litem berikutan keadaan Jahidah yang masih terlantar dan tidak mempunyai keupayaan untuk hadir prosiding selepas kejadian yang berlaku pada Mei 2021.

Sebelum itu, peguam syarie Jabatan Bantuan Guaman Negeri Sembilan, Mohd. Amirul Adam Ahmad yang mewakili plaintif menyerahkan kenyataan bertulis mengandungi 31 soalan kepada Hakim Hamizan.

Mohd. Amirul Adam berkata, dengan keputusan itu, hubungan perkahwinan antara Jahidah dan Rosmaini terputus.

Fauziah memperkatakan sesuatu kepada Mohd. Amirul selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah, Seremban semalam.

“Kes ini mengambil masa ke­rana sepatutnya Jahidah sendiri hadir tetapi keadaannya (masih terlantar), jadi permohonan penjaga ad litem perlu dibuat terlebih dahulu di Mahkamah Tinggi Syariah.

“Selain itu, perintah telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Malaya berkaitan pengurusan harta Jahidah diserahkan kepada jawatankuasa yang dike­tuai oleh Fauziah dan adiknya Fazariah Nordin,” katanya selepas prosiding.

Menurut Mohd. Amirul Adam, Rosmaini bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah walaupun notis saman melalui iklan telah disiarkan di surat khabar pada 24 Februari lalu untuk memastikan kehadirannya.

Pada 4 Mei 2021, Kosmo! me­laporkan Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma kerana cedera parah pada kepala dan sebahagian tempurung kepala terpaksa dibuang ekoran pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya.

Jahidah pada mulanya dima­sukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban atas permintaan keluarga.

Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI