fbpx

Banjir: Lapor harta benda hilang, rosak melalui e-Reporting

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUL ZAMAN menunjukkan risalah e-Reporting pada sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

JOHOR BAHRU – Polis Johor menyediakan kemudahan kepada mangsa banjir yang terjejas di negeri ini untuk membuat laporan polis menerusi dalam talian atau e-Reporting.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, laporan yang dijana sistem dalam talian ini boleh digunakan untuk membuat tuntutan dan sebagai bukti mangsa terjejas dalam bencana banjir.

“Polis Johor menyediakan kemudahan e-Reporting untuk kes-kes yang berkaitan terutamanya kejadian banjir baru-baru ini.

“Mangsa yang terjejas mengalami kerosakan harta benda termasuk hilang kad pengenalan, kad ATM atau kerosakan rumah semasa banjir boleh membuat laporan polis melalui e-Reporting dengan melayari website (laman sesawang).

“Laporan polis ini boleh dicetak dan digunakan untuk membuat tuntutan dan sebagainya akibat bencana banjir,” katanya pada sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Tampoi di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, selain itu, pihaknya akan menyediakan perkhidmatan dengan menempatkan pegawai dan anggota di pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi di negeri ini untuk membuat laporan polis.

Selain itu katanya, mangsa banjir juga boleh tampil ke mana-mana balai polis berdekatan untuk membuat laporan.

Terdahulu, situasi banjir di negeri ini terus menunjukkan perkembangan positif apabila mereka penurunan dengan seramai 35,230 mangsa masih ditempatkan di 114 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 4 petang, hari ini.

Jumlah itu menunjukkan sedikit pengurangan berbanding seramai 35,965 mangsa yang direkodkan, tengah hari tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani dilaporkan berkata, jumlah mangsa banjir terkini itu terdiri daripada sejumlah 9,913 buah keluarga.

“Ketika ini, empat daerah masih terjejas akibat banjir khususnya melibatkan banjir termenung dengan Batu Pahat kekal daerah paling teruk terjejas melibatkan seramai 35,065 mangsa.

“Ini diikuti daerah Segamat (102 mangsa); Muar (42 mangsa) dan Tangkak (24 mangsa).

“Daerah lain yang sebelum ini terjejas telah pulih sepenuhnya apabila kesemua mangsa yang ditempatkan di PPS di daerah terlibat telah dibenarkan pulang,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI