PETALING JAYA – Program dialog anak muda bersiri dikenali sebagai Temu Anwar yang bakal berlangsung pada 19 Mac ini menampilkan seorang pelakon cantik sebagai moderator iaitu Amelia Henderson.
Sesi dialog bersama anak muda itu yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan Bunkface.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan program Temu Anwar itu akan diadakan bersama dengan program Forum dan Eksposisi Pemerkasaan Anak Muda 2023.
Sesi dialog tersebut adalah khusus bagi memberi peluang kepada sesiapa sahaja terutama anak muda bertanyakan soalan secara terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Difahamkan, atur cara bagi program terbabit akan bermula pada pukul 3 petang di Dewan 6 dan 7 di KLCC serta pendaftaran boleh dibuat menerusi laman web temuanwar.com.
Bagi mereka yang telah mendaftar, sila tunggu pengesahan melalui mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi WhatsApp. – KOSMO! ONLINE