fbpx

Gerai bakal diroboh, 21 peniaga hilang punca rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian peniaga berhimpun secara aman di hadapan gerai di tepi jalan Batu Feringghi semalam.

GEORGE TOWN – Kebimba­ngan dirasai kira-kira 21 peniaga makanan dan minuman yang mencari rezeki di tepi jalan Batu Ferringhi apabila premis mereka bakal dirobohkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam masa terdekat.

Operasi merobohkan gerai itu sepatutnya dijalankan semalam, namun peniaga terbabit bernasib baik apabila menerima makluman bahawa tindakan perobohan ditangguhkan seketika.

Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Batu Ferringhi, Mohd. Hisham Shah, 41, berkata, kesemua peniaga ada menerima notis pengosongan tapak perniagaan itu daripada MBPP pada 27 Januari lalu.

“Selepas menerima notis tersebut, kami semua susah hati. Kami memang bergantung hidup dengan meniaga di tepi jalan ini sejak lebih 15 tahun lalu.

“Ada peniaga yang terima notis untuk kosongkan tapak dalam tempoh tujuh hari, ada yang perlu kosongkan dalam tempoh 21 hari. Macam mana kami mahu sara kehidupan apabila tidak lagi berniaga,” katanya ketika ditemui di Batu Ferringhi di sini semalam.

Menurutnya, sebelum ini kesemua peniaga pernah membuat rayuan kepada MBPP agar dibenarkan berniaga di kawasan berkenaan, namun tiada maklum balas lanjut daripada MBPP mengenai perkara itu.

“Kami telah berusaha untuk memohon lesen penjaja, tetapi MBPP tidak luluskan dan tetap mahu merobohkan gerai kami.

“Kami berharap untuk dibenarkan berniaga di sini seperti mana peniaga-peniaga lain di pasar malam Batu Ferringhi yang turut berniaga di tepi jalan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, seorang peniaga, Mohd. Shukri Rojahan, 32, berkata, dia dan isterinya berniaga nasi ayam penyet di kawasan itu sejak 10 tahun lalu bagi menyara kehidupan mereka.

“Saya amat terkejut selepas menerima notis daripada MBPP yang meminta kami mengosongkan gerai di tapak ini, saya memang tidak punya pendapatan lain selain berniaga di sini.

“Saya dan peniaga lain berharap MBPP tidak merobohkan gerai kami, beri kami jalan untuk selesaikan perkara ini kerana ada banyak lagi lokasi peniaga dibenarkan berniaga di tepi jalan tanpa gangguan MBPP,” katanya.

Dalam pada itu, Kosmo! telahpun menghubungi Datuk Bandar MBPP, Ar Yew Tung Seang bagi mendapatkan komen berhubung isu berkenaan, namun tiada maklum balas diterima setakat ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI