MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menyeru agar pasukan segera mengalihkan tumpuan pada kancah Liga Juara-Juara menjelang aksi kedua pusingan 16 terbaik menentang Red Bull Leipzig di Etihad awal pagi esok.
Sebagai rekod, kedua-dua pasukan masih lagi berpeluang untuk menempah tiket ke pentas suku akhir saingan berprestij Eropah itu selepas merekodkan keputusan seri 1-1 pada aksi pertama di Jerman bulan lalu.
Kata Guardiola, para pemainnya sudah digesa agar memberikan aksi seratus peratus di atas padang sambil tidak memandang rendah terhadap keupayaan pasukan lawan yang berusaha untuk mencipta kejutan.
“Ini adalah saingan Liga Juara-Juara dan apa sahaja boleh berlaku. Kita boleh lihat pada aksi pertama yang lepas tiada jalan mudah buat pasukan kami kerana Leipzig juga salah satu pasukan yang berkualiti dengan memiliki jurulatih yang bagus.
“Mungkin kita gagal memanfaatkan peluang pada aksi pertama yang lepas, tetapi apabila anda memasuki peringkat kalah mati, ia akan ditentukan dalam tempoh 180 minit.
“Secara jujur, saya masih belum membuat keputusan mengenai aspek taktikal dan kesebelasan utama, tetapi tidak mustahil saya akan buat kerja gila dengan bermain menggunakan sembilan penyerang bagi mendapatkan gol,” katanya.
Sementara itu, pemain pertahanan City, John Stones turut senada dengan apa yang dikatakan oleh pengendali dari Sepanyol itu selain percaya peluang untuk pasukan menjuarai tiga kejohanan musim ini masih terbuka.
“Kita akan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan. Buat masa ini tumpuan diberikan kepada aksi Liga Juara-Juara dan pasukan juga masih bersaing dengan kompetitif untuk kempen Liga Perdana Inggeris dan Piala FA,” katanya. – AGENSI