JAGUH berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang percaya langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membentuk pasukan projek Road to Gold (RTG) mampu memberi anjakan paradigma bagi menjelmakan emas pertama Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.
Azizulhasni yang dikenali dengan gelaran The Pocket Rocketman berkata, program RTG yang dibarisi jawatankuasa berpengalaman seperti bekas atlet dan individu elit mampu menjadi tunjang kepada program itu.
“Saya sambut baik RTG dan sudah pasti jawatankuasa terpilih ini adalah individu yang mempunyai kredibiliti, pengalaman dan pengetahuan. Saya harap program ini dapat memberi impak kepada atlet.
“Kita memerlukan orang-orang seperti ini. Mereka yang terpilih ini pernah terlibat secara langsung dan tidak langsung, malah pengalaman mereka cukup meluas terutama beraksi pada tahap tertinggi.
“Mereka faham apa yang diperlukan atlet yang bakal ke Olimpik dan tahu batasan atau sekatan untuk membantu atlet ini beraksi pada tahap tertinggi.
“Saya juga terlibat dalam pelbagai program dan saya tidak kata program sebelum ini tidak bagus tetapi jika bawa pendekatan lama akan capai hasil yang sama.
“Ini inisiatif baharu yang diharapkan dapat memberi anjakan paradigma kepada atlet negara. Kita perlu pembaharuan besar untuk agar kita dapat merealisasikan pingat emas Olimpik,” katanya.
Azizulhasni turut berharap dengan adanya program itu akan membolehkan semua atlet memasang azam tinggi untuk merealisasikan impian rakyat Malaysia bagi menjelmakan emas pertama pada Sukan Olimpik.
Katanya, dia turut meletakkan azam tinggi untuk membawa pulang pingat emas buat Malaysia kerana Paris 2024 adalah Sukan Olimpik terakhirnya sebelum melepaskan tugas seterusnya kepada atlet pelapis negara.
“Benar saya sudah berusia dan Paris 2024 merupakan Sukan Olimpik terakhir saya. Kalau boleh saya mahu bawa pulang pingat emas buat Kontinjen Malaysia, tetapi saya juga menaruh harapan kepada atlet-atlet lain untuk membawa pulang pingat emas.
“Saya harap adanya program RTG ini dapat suntik semangat buat atlet dan buka peluang realisasikan impian memburu pingat emas pada temasya empat tahun sekali tersebut,” ujarnya.