MANILA – Seorang pelajar lelaki di Filipina yang sebelum ini tular dan sering diejek kerana memiliki nama Drink Water kini membintangi iklan sebuah jenama minuman, lapor portal berita Coconuts semalam.
Drink Water Rivera mula menjadi perhatian ramai apabila rakan-rakannya memuat naik gambar kad pelajar menunjukkan nama sebenarnya beserta keterangan bertulis: “Nama terbaik di Filipina.”
Pelajar jurusan komunikasi di Universiti Far Eastern itu bagaimanapun berkata, dia menyukai namanya kerana ia membuatkan dirinya menjadi perhatian ramai.
“Saya amat menyukai nama saya kerana seperti yang dipelajari dalam kelas pengiklanan, ini adalah ‘jenama’ saya.
“Satu daripada ciri pengiklanan yang baik adalah penjenamaan yang bagus kerana ia memberi impak. Jadi, bagi saya, sama seperti nama saya di mana orang ramai berasa kagum dengan nama ini,” kata Drink Water.
Kata-katanya menjadi kenyataan apabila dia baru-baru ini membintangi iklan minuman berkandungan elektrolit, Gatorade No Sugar.
Ketika berkongsikan kisah di sebalik nama uniknya, Drink Water berkata, ibunya menamakan adik beradiknya dengan nama-nama unik seperti Winner dan Rice.
Tambahnya, ketika ibunya mahu melahirkan dia di hospital, wanita itu tidak dapat bernafas sehinggalah dia meminum air (drink water). – Agensi