JOHOR BAHRU – Keadaan banjir di negeri ini menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa berkurangan kepada 38,456 orang setakat pukul 12 tengah hari tadi.
Jumlah itu membabitkan sebanyak 10,711 keluarga yang ditempatkan di 121 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah yang masih terjejas banjir, menurut maklumat terkini oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir itu berkurangan berbanding 38,587 penduduk daripada 10,747 keluarga di 123 PPS.
“Daerah yang masih terkesan akibat banjir ialah Segamat, Batu Pahat, Muar dan Tangkak. Cuaca cerah sejak beberapa hari lalu menyebabkan jumlah mangsa banjir di Batu Pahat menunjukkan trend positif berkurangan kepada 37,717 penduduk berbanding 37,827 penduduk yang direkodkan pagi tadi.
“Turut mencatatkan penurunan ialah jumlah mangsa banjir di Segamat yang berkurangan daripada 193 penduduk kepada 172 penduduk pada tengah hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmi berkata, banjir termenung di Muar dan Tangkak menyebabkan jumlah mangsa banjir di daerah itu tidak berkurangan dengan seramai 504 penduduk di Muar dan 63 di Tangkak.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, sehingga kini, tujuh kes kematian akibat banjir dilaporkan, dengan kes terbaru membabitkan seorang guru pelatih maut terkena renjatan elektrik ketika membantu kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh, Segamat kelmarin. – KOSMO! ONLINE