KUALA LUMPUR – Seorang individu yang digelar ‘Datuk Roy’ direman tiga hari bagi membantu siasatan berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Suspek yang berusia 54 tahun itu direman bermula hari ini sehingga Khamis bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Noorelyna Hanim Abd. Halim di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Semalam, media melaporkan SPRM menahan seorang individu yang digelar ‘Datuk Roy’ pukul 3 petang yang mana lelaki itu ditahan semasa hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Difahamkan suspek yang berusia lingkungan 50-an ditahan bagi membantu siasatan kes penipuan berkaitan program Jana Wibawa.
Terdahulu dilaporkan SPRM Kuala Lumpur sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan program itu.
SPRM dalam kenyataan, memaklumkan lelaki yang dikesan adalah individu yang digelar ‘Datuk Roy’ dengan alamat terakhir di Semambu, Kuantan, Pahang. – KOSMO! ONLINE