fbpx

Kualiti perkhidmatan kehakiman negara sentiasa berada pada tahap terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra (tengah) diberi taklimat mengenai badan kehakiman Kelantan semasa mencemar duli merasmikan Kompleks Mahkamah Kota Bharu, Tunjong di Kota Bharu hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/ KOSMO!

KOTA BHARU – Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan kehakiman di negara ini berada pada tahap yang terbaik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, beliau percaya infrastruktur fizikal mahkamah yang kondusif antara faktor memacu kualiti penyampaian perkhidmatan kehakiman dan setanding dengan badan kehakiman negara maju lain.

Menurutnya, sebagai organ pentadbiran negara yang bertanggungjawab untuk mendukung prinsip kedaulatan undang-undang, badan kehakiman sentiasa memastikan akses kepada keadilan tersedia setiap masa.

“Dalam konteks Kompleks Mahkamah Kota Bharu, ia dibangunkan bagi menggantikan bangunan mahkamah lama yang tidak lagi kondusif.

“Secara ringkasnya, Kompleks Mahkamah Kota Bharu dibangunkan di atas sebidang tanah seluas 2.72 hektar dan dilengkapi dengan 13 buah bilik bicara yang merangkumi tiga buah bilik bicara Mahkamah Tinggi manakala Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret masing-masing dengan lima buah bilik,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Kota Bharu, Tunjong di sini hari ini.

Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan mencemar duli untuk merasmikan majlis tersebut dengan diiringi Cik Puan Kelantan, Sofie Louise Johansson dan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Mengulas lanjut, Ramkarpal berkata, pembinaan Kompleks Mahkamah Kota Bharu yang melibatkan kos sebanyak RM94.4 juta itu turut dilengkapi dengan bilik sokongan seperti kamar hakim, bilik persidangan, bilik mesyuarat, perpustakaan, kafeteria dan surau.

Menurutnya, operasi mahkamah di kompleks itu turut menggunakan sistem teknologi maklumat terkini termasuk sistem Court Recording and Voice to Text (RVT) selain dilengkapi dengan internet jalur lebar berkelajuan tinggi bagi penggunaan pegawai dan kakitangan mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI