SEPERTI yang dilaporkan sebelum ini, agensi dinaungi Kim Sae-ron mendakwa pelakon itu terpaksa bekerja sambilan di sebuah kafe kerana masalah kewangan berikutan kontroversi memandu di bawah pengaruh alkohol.
Perkara tersebut dibuktikan Sae-ron dengan perkongsian beberapa keping foto dalam Instagram miliknya memaparkan situasi dia bekerja di sebuah kedai kopi, Mega Coffee.
Pun begitu, sebaliknya yang berlaku apabila wakil kedai tersebut mengesahkan Sae-ron tidak pernah bekerja di situ seperti didakwa pelakon itu.
“Kami ingin mengesahkan bahawa Sae-ron tidak pernah bekerja sebagai pekerja sambilan rasmi di mana-mana cawangan kedai kami di sini (Korea).
“Pemilik kedai di lokasi terbabit mempunyai pekerja sambilan yang berkawan dengan Sae-ron. Bagaimanapun, pemiliknya berkata Sae-ron tidak pernah bekerja di sana.
“Foto yang diambil di dapur gelap bukan dari kedai kami kerana Mega Coffee tidak mempunyai dapur pembakar yang berasingan,” kata wakilnya.
Pengesahan tersebut sekali gus membuatkan netizen mempersoalkan jika Sae-ron menipu sedangkan sebelum ini dia pernah mengupah peguam termahal bagi mewakili kes mahkamah dihadapinya.