PUTRAJAYA – Malaysia sedang menghadapi ancaman baharu iaitu peningkatan jangkitan malaria zoonotik yang boleh mengakibatkan jangkitan malaria teruk serta berpotensi menyebabkan kematian sekiranya lewat didiagnos dan dirawat.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, daripada 404 kes malaria yang dilaporkan pada tahun 2022, 89.2 peratus adalah kes malaria zoonotik dan selebihnya adalah kes malaria import.
Menurutnya, sebanyak sembilan dari 11 kes kematian malaria yang direkodkan pada tahun lalu melibatkan malaria zoonotik dan dua kes malaria import.
“Sehingga minggu epidemiologi 10/2023, jumlah kumulatif kes malaria yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 527 kes dan jumlah ini meningkat sebanyak 30.4 peratus (123 kes) berbanding tahun lalu iaitu 404 kes.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 460 adalah kes malaria zoonotik dan 67 kes import malaria manusia,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian persidangan Tropical Infectious Disease 2023 di sini hari ini.
Jelasnya, berbeza dengan kes jangkitan malaria manusia, penularan jangkitan malaria zoonotik kebiasaannya berlaku di rumah dan cabaran KKM dalam menangani jangkitan ini adalah mengenal pasti kaedah kawalan vektor yang berkesan.
“Langkah yang sepatutnya kita akan laksanakan termasuk kaedah semburan dan pembersihan kawasan bagi memastikan kes-kes malaria zoonotik ini terkawal,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE