fbpx

Karnival Semarak al-Quran ATM tarik minat masyarakat ke masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rashidi merasmikan pelancaran Karnival Semarak al-Quran peringkat ATM tahun 2023. - Foto oleh M FIRDAUS M JOHARI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Karnival Semarak al-Quran peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2023 yang diadakan selama empat hari bermula hari ini bertujuan memberi pendedahan tentang kepentingan mempelajari selain menyemarakkan al-Quran ke dalam diri setiap muslim.

Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat), Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujai berkata, karnival berkenaan merupakan usaha peningkatan dan pemerkasaan kerohanian warga Muslim ATM sempena bulan Ramadan melalui pengisian majlis ilmu serta salah satu cara mempromosikan masjid sebagai wadah penyatuan umat Islam.

“Ia terbuka kepada orang ramai di luar sana yang berminat dengan aktiviti yang disediakan. Antara aktivitinya adalah program al-Quran Bersanad, Program ‘Tagging & Journaling’ al-Quran, forum isu Palestin & Syria, Daurah Kitab dan Motivasi al-Quran.

“Seterusnya, ceramah kecantikan muslimah, Klinik Kaunseling Al-Ghazali, perubatan Islam, perubatan bekam, pemeriksaan kesihatan, sukan memanah, khidmat pusat pungutan zakat dan banyak lagi,” ujarnya ketika sidang media di MKWK pagi tadi.

Menurutnya, karnival turut dimeriahkan dengan beberapa agensi luar seperti Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Bank Muamalat, Koperasi Tentera, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (YAPEIM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Pacu Resources Sdn Bhd, Tabung Haji, Pusat Pungutan Zakat (PPZ), MyFundAction, Aman Palestin, MAPIM, Pujangga Baru, Telaga Biru dan lain-lain.

“Jumaat ini merupakan program kemuncak di mana Panglima Angkatan Tentera akan hadir untuk melancarkan Ihya’ Ramadan dan pengagihan sumbangan kepada perkhidmatan-perkhidmatan dalam menjayakan program sepanjang bulan puasa termasuk penajaan bubur lambuk dan program di masjid serta surau.

“Untuk masjid kita akan berikan sumbangan sebanyak RM1,000 manakala surau RM500 untuk menjayakan program sepanjang bulan Ramadan ini, yang mungkin melibatkan perbelanjaan hampir RM200,00 menggunakan tabung zakat ATM,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap karnival ini dapat melahirkan warga ATM dan masyarakat berketerampilan seiring dengan akhlak al-Quran. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI