PETALING JAYA – Selepas menjalani pembedahan major sehingga perlu ditidurkan semalam, pelakon Kamal Adli yang sudah sedarkan diri memberitahu dia semakin stabil dan berada dalam keadaan baik.
Menerusi satu hantaran yang dikongsikan pelakon itu dalam Instagram miliknya, Kamal, 37, memaklumkan dia masih perlu mengambil ubat tahan sakit selepas mengalami kecederaan serius akibat dipukul seorang individu tidak dikenali menggunakan cota besi dan senjata tajam.
“Assalamualaikum. Alhamdulillah, alhamdulillah. Saya semakin stabil, tapi masih perlu mengambil ubat-ubatan untuk tahan sakit. Saya dijaga baik oleh isteri saya (Uqasha Senrose),” tulisnya.
Dalam hantaran itu juga, Kamal menzahirkan rasa terima kasih kepada rakan-rakan artis serta netizen sama ada di Malaysia mahupun di Singapura kerana banyak membantu dan mendoakan kesejahteraannya.
“Terima kasih atas doa kalian terutamanya artis-artis di gerai jualan (Singapore Expo) dan orang-orang Malaysia dan Singapura yang menolong saya.
“Saya harap semua orang tolong jaga keselamatan kerana kita tidak tahu siapa suka atau benci kita,” katanya yang turut berkongsi sekeping gambar dirinya berada di dalam wad hospital dalam keadaan kepalanya berbalut dan pipi kiri mengalami luka.
Pada masa sama, pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu turut meminta orang ramai supaya mendoakan keadaan isterinya, Uqasha yang masih berada dalam keadaan trauma selepas menjadi saksi dirinya dipukul dengan teruk di depan matanya.
“Doakan untuk isteri saya yang masih trauma tentang isu ini. Saya sayang isteri saya. Yang ketuk (serang) saya seorang, bukan satu Singapura. Jangan gaduh-gaduh,” pinta Kamal yang tidak mahu kejadian itu menggugat keharmonian antara kedua-dua buah negara.
Terdahulu, Uqasha memuat naik video pendek dalam Instagram memberitahu Kamal cedera parah dipukul seorang individu tidak dikenali mengguna cota dan senjata tajam dalam satu kejadian yang berlaku pada malam Ahad lalu.
Difahamkan Uqasha dan Kamal masih berada di Kota Singa untuk rawatan dan siasatan polis sebelum dibenarkan pulang ke Kuala Lumpur.
Suspek yang berusia 33 tahun bagaimanapun telah ditahan polis dan dihadapkan ke mahkamah di negara tersebut, hari ini. – KOSMO! ONLINE