fbpx

Faedah Perkeso bantu kelangsungan hidup balu, anak pemandu lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sivakumar (dua, kiri) ketika menyampaikan faedah Perkeso kepada balu mendiang di Selayang Baru, di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed. - Foto oleh M Firdaus M Johari/ KOSMO!

SELAYANG – Balu dan anak bongsu kepada mendiang Lee Eng Dong, 61, pemandu lori yang maut akibat kemalangan Februari lalu, menerima faedah orang tanggungan (FOT) berjumlah RM3735.00 sebulan menerusi Skim Bencana Pekerjaan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Kes tersebut dijejak Skuad Perkeso Prihatin menerusi laporan Kosmo! tentang nahas yang membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 266.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan selepas menuruni Terowong Menora menyebabkan seorang pemandu lori cedera parah, 15 Februari lalu.

Mangsa (mendiang) dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak untuk menerima rawatan namun disahkan meninggal dunia selepas 12 hari bertarung nyawa akibat kecederaan parah di kepala.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, kesedaran majikan yang mencarum pekerjanya walaupun melewati usia 61 tahun, membolehkan isteri mendiang yang juga seorang suri rumah, Edna Hipolito Amos, 58, dan anaknya menerima bantuan kewangan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Saya simpati kepada keluarga ini yang kehilangan suami dan bapa. Sejurus dapat maklumat dari media cetak, Skuad Perkeso Prihatin segera mengambil tindakan proaktif mengesan mendiang.

“Semakan mendapati, balu layak terima FOT seumur hidup manakala anak bongsu, Lee Zi Young, 19, menerima FOT sehingga berusia 21 tahun atau hingga menamatkan pengajian peringkat ijazah pertama.

“Jadi saya tegaskan supaya semua majikan mencarum untuk semua pekerja termasuk yang berumur lebih 60 tahun demi perlindungan mereka dan keluarga sekiranya terjadi musibah berkaitan pekerjaan.

“Di bawah Akta 4, majikan perlu membayar caruman jenis kedua bagi pekerja yang berumur lebih 60 tahun, iaitu sebanyak 1.25 peratus daripada gaji bulanan untuk perlindungan Skim Bencana Pekerjaan,” katanya kepada media ketika menziarahi keluarga berkenaan di kediaman mereka, di sini, untuk menyampaikan faedah Perkeso.

Beliau turut menasihatkan majikan dan pekerja agar membudayakan amalan pencegahan kemalangan di tempat kerja mahupun di jalan raya.

“Tahun lalu, daripada 70,948 jumlah kemalangan pekerjaan yang dilaporkan kepada Perkeso, 45.7 peratus (32,440 kes) melibatkan kemalangan jalan raya.

“Dalam tempoh tersebut, 70 peratus (651 kes) daripada 929 kemalangan maut melibatkan pekerja yang dalam perjalanan atau berulang-alik ke tempat kerja,” ujarnya.

Anak kedua mangsa, Lee Zi Long, 24, sangat berterima kasih kepada Perkeso kerana faedah yang diterima ibu dan adiknya itu sedikit sebanyak membantu meringankan kos perbelanjaan mereka selepas ketiadaan bapa.

“Sebelum ni bapa selalu bagi sebahagian gaji kepada ibu tetapi bila dia tiada, kami yang dah bekerja sama-sama bantu ambil alih tugas bapa. Faedah Perkeso yang ibu dapat ni sangat membantu malah adik bongsu pun dapat sambung belajar,” katanya.

Sementara itu majikan mendiang, Cherng Yuan Hwa, menzahirkan kekaguman di atas kecekapan dan kepantasan pihak Perkeso.

“Saya pun ada di hospital ada pegawai Perkeso hubungi saya dan minta maklumatnya. Saya memang kagum Perkeso sangat pantas dan cepat buat kerja untuk jejak pencarum sampai dapat,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI