KUALA LUMPUR – Sasaran pengurangan defisit fiskal negara kepada lima peratus pada 2023 adalah munasabah selepas pembayaran hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilakukan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu membayar hutang 1MDB sekitar RM13.5 bilion tahun ini.
“Hal lain yang masuk dalam tahun 2023 adalah 1MDB yang harus dibayar sekitar RM13.5 bilion tahun ini.
“Bagaimanapun (pembayaran) ini adalah `one-off’. Tahun depan RM13.5 bilion itu tidak termasuk dalam perkiraan. Jadi defisit akan jauh lebih kurang,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) apakah sasaran pengurangan defisit seperti yang telah dibentangkan kerajaan dapat dicapai.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan pada tahun 2022 membelanjakan sebanyak RM31 bilion daripada Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19).
Bagaimanapun, kata beliau, pada tahun ini kerajaan tidak lagi perlu membuat sebarang perbelanjaan untuk Covid-19.
“Jadi hasil untuk tahun 2023 dijangka melebihi kerana dana daripada International Petroleum Investment Co (IPIC) sendiri sebanyak US$1.8 bilion.
“Jadi bagi kerajaan jumlah ini (sasaran pengurangan defisit fiskal) adalah munasabah,” katanya.
Justeru, kata beliau, tidak timbul persoalan sama ada langkah mengurangkan defisit fiskal itu akan menjejaskan projek dan kebijakan ekonomi yang menyentuh kepentingan rakyat.
“Subsidi bersasar akan kurangkan perbelanjaan kerajaan kerana tanpa subsidi, penggunaan elektrik 10 peratus tertinggi menggunakan subsidi yang banyak terpaksa membayar sedikit harga tambahan ketimbang tahun sebelumnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE