fbpx

Dewan Rakyat: Malaysia belum bersedia laksana GST

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) belum boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan semula kerana pendapatan rakyat masih rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sejak dulu menyatakan GST adalah sebuah sistem percukaian yang efisien dan telus, tetapi Malaysia belum bersedia untuk melaksanakannya.

“Jadi saya tidak fikir dalam tempoh enam bulan atau satu tahun ini kita dapat pertimbangkan. Pendapatan rakyat mesti naik dulu.

“Semua negara melaksanakan GST termasuk Singapura, Kanada dan New Zealand dikira pendapatan minimum rakyat agak munasabah untuk hidup.

“Sekarang ini (di Malaysia) masih ramai miskin tegar, golongan B40, maka tidak boleh dipertimbangkan buat masa sekarang,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) bila GST akan diperkenalkan dan apakah pendekatan yang akan diambil untuk mengurangkan beban rakyat jika ia diperkenalkan.

Terdahulu, Anwar menegaskan, kerajaan telah memperkenalkan “Capital Gain Tax” dan cukai bagi barang mewah yang dianggap memadai untuk menambah perolehan.

Kata beliau, selain itu kerajaan turut mengambil langkah tegas bagi mengelak kebocoran pembayaran cukai termasuk dalam kalangan golongan kaya.

“Selalunya tauke-tauke maha kaya ini elak bayar cukai dan ada perlindungan. Ini bukan perkara baru. Saya beritahu kita jangan tolak ansur, orang maha kaya juga dipastikan bayar cukai dan jangan larikan wang ke luar negara.

“Ini berlaku dan sebab itu saya sudah arahkan semua siasatan dilakukan termasuk “Pandora Paper”. Malangnya ada Yang Berhormat mempertahankan pelari cukai ini konon kes lama.

“Saya tidak peduli kes lama atau baru. Kalau kamu tipu atau curi wang negara bayar balik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI