HOUSTON, TEXAS – Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun cedera akibat ditembak oleh adiknya yang berumur tiga tahun dalam insiden tidak disengajakan di Texas, Amerika Syarikat, lapor stesen penyiaran CNN semalam.
Syerif daerah Harris, Ed Gonzalez berkata, insiden itu adalah tragis namun boleh dielakkan.
“Kejadian itu melibatkan kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun. Kanak-kanak yang berusia tiga tahun adalah penembak dan kejadian tidak disengajakan,” katanya.
Tambah Gonzalez, ketika kejadian, sebuah keluarga dan rakan-rakan mereka sedang berehat di dalam sebuah unit apartmen di Houston, Ahad lalu.
Dua beradik itu kemudian bermain di dalam bilik tidur tanpa pengawasan apabila kanak-kanak berusia tiga tahun tersebut memegang sepucuk pistol separa automatik yang mempunyai peluru.
Sejurus terdengar bunyi tembakan, keluarga tersebut berlari ke dalam bilik dan menemui mangsa terbaring di atas lantai dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Ia sama seperti kisah tragik lain di mana kanak-kanak menemui senjata api lalu menembak seseorang,” kata Gonzalez.
Ujarnya, siasatan kini sedang dijalankan sambil menambah, dalam situasi seperti itu, seseorang berkemungkinan besar berdepan dakwaan kerana gagal menyimpan senjata api dengan baik.
Menurut data dikumpulkan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, Everytown Research & Policy, sekurang-kurangnya 2,070 insiden tembakan tidak disengajakan melibatkan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun berlaku antara 2015 hingga 2020.
Ia membawa kepada 765 kematian dan 1,366 kecederaan dengan kira-kira 39 peratus melibatkan penembak berusia sembilan tahun dan ke bawah. – Agensi