JOHOR BAHRU – Keadaan banjir di negeri ini dilihat sedang dalam fasa pemulihan apabila terdapat seramai 38,587 mangsa banjir yang ditempatkan di 123 pusat pemindahan sementara (PPS) pada pukul 8 pagi, hari ini.
Jumlah mangsa banjir tersebut menunjukkan sedikit pengurangan berbanding seramai 39,677 mangsa yang ditempatkan di 125 PPS, pada pukul 8 malam, semalam.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, jumlah mangsa banjir terkini itu terdiri daripada sejumlah 10,747 buah keluarga.
“Buat masa ini, empat daerah masih terjejas akibat banjir dengan daerah yang menempatkan paling ramai mangsa kekal Batu Pahat dengan seramai 37,827 mangsa. Ini diikuti daerah Muar (504 mangsa); Segamat (193 mangsa) dan Tangkak (63 mangsa),” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE