GEORGE TOWN – Kira-kira 21 peniaga makanan dan minuman di tepi jalan Batu Ferringhi di sini berdepan kebimbangan apabila gerai tempat mereka mencari rezeki bakal dirobohkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada bila-bila masa.
Sepatutnya, operasi perobohan gerai dijalankan hari ini namun peniaga terbabit bernasib baik apabila menerima makluman bahawa tindakan itu ditangguhkan seketika.
Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Batu Ferringhi, Mohd Hisham Shah, 41, berkata, kesemua peniaga telah menerima notis pengosongan tapak perniagaan itu daripada MBPP pada 27 Januari lalu.
“Selepas menerima notis tersebut kami semua susah hati, kami memang bergantung hidup dengan meniaga di tepi jalan ini sejak lebih 15 tahun lalu.
“Ada peniaga yang terima notis untuk kosongkan tapak ini dalam tempoh tujuh hari, ada yang perlu kosongkan dalam tempoh 21 hari, kami sangat gusar jika kami tidak berniaga macam mana kami mahu sara kehidupan,” katanya ketika ditemui di Batu Ferringhi di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua peniaga juga sebelum ini pernah membuat rayuan kepada MBPP agar dibenarkan berniaga di kawasan berkenaan namun tiada maklum balas lanjut daripada MBPP mengenai perkara itu.
“Kami telah berusaha untuk memohon lesen penjaja namun MBPP tidak luluskan, dan tetap mahu merobohkan gerai kami. Kami berharap kami dibenarkan untuk berniaga di sini seperti mana peniaga-peniaga lain di pasar malam Batu Ferringhi yang juga berniaga di tepi jalan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi peniaga, Mohd Shukri Rojahan, 32, berkata, dia dan isterinya berniaga nasi ayam penyet di situ sejak 10 tahun lalu bagi menyara kehidupan mereka.
“Saya amat terkejut selepas menerima notis daripada MBPP agar kami mengosongkan gerai di tapak ini, saya memang tidak punya pendapatan lain selain berniaga di sini.
“Saya dan peniaga lain berharap MBPP tidak merobohkan gerai kami, beri kami jalan untuk selesaikan perkara ini kerana ada banyak lagi lokasi peniaga dibenarkan berniaga di tepi jalan tanpa gangguan MBPP,” katanya. – KOSMO! ONLINE