fbpx

Uqasha mohon rakyat Malaysia, Singapura tidak bergaduh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERLAPANG dada dengan insiden menimpa suaminya, Uqasha enggan menjadikan kejadian tersebut sebagai punca rakyat Malaysia dan Singapura bertelagah.

PETALING JAYA – Pelakon popular Uqasha Senrose memohon rakyat dua negara iaitu Malaysia dan Singapura tidak bertelagah sesama sendiri disebabkan insiden serangan terhadap suaminya, Kamal Adli di tapak Singapura Expo di Singapura, semalam.

Uqasha atau nama penuhnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen memberitahu, orang ramai tidak seharusnya menjadikan insiden yang berlaku terhadap suaminya sebagai titik permulaan untuk bermusuhan antara dua negara.

“Jangan salahkan sesama sendiri atau bergaduh antara dua negara.

“Kejadian ini tiada kaitan untuk label orang Singapura jahat atau sebagainya. Semua ini ibarat malang tidak berbau.

“Mungkin benda ini nak berlaku dan ada individu yang memang jadikan Kamal sebagai sasaran. Individu itu bukan orang gila pun,” katanya dalam nada sebak ketika bersiaran langsung dalam Instagram hari ini.

Dia juga menegaskan agar orang ramai tidak membuat spekulasi sendiri dan membiarkan pihak polis melakukan siasatan menyeluruh terhadap kejadian tersebut.

Malah, Uqasha juga terpaksa merahsiakan lokasi penginapannya di Singapura atas faktor keselamatan.

“Sehingga kini kami tak tahu motif dia sebab tidak berlaku sebarang pergaduhan.

“Biar polis yang buat siasatan. Buat masa sekarang, pihak polis meminta rahsiakan lokasi keberadaan kami di sini kerana ada terima ugutan bunuh.

“Satu hal buatkan saya takut ialah dia ugut saya dan keluarga dengan memberi amaran ‘korang tunggu’.

“Itu yang membuatkan polis minta kami tak beritahu lokasi kami sekarang,” ujarnya.

Dia juga menjadikan kejadian yang berlaku sebagai satu pengajaran untuknya dan Kamal.

“Semuanya berlaku sekelip mata. Semua yang berlaku menjadi pengajaran untuk semua orang termasuk kami sebab kita tak tahu siapa yang benci atau suka kita,” jelasnya.

Berkongsi lanjut, bintang drama Perempuan Tanpa Dosa itu memohon orang ramai menitikberatkan faktor keselamatan diri dan turut mengibaratkan insiden yang berlaku kepada sama seperti jalan cerita dalam drama.

“Tolong doakan dan jaga diri. Semua yang anda tonton dalam drama seperti simbah asid dan dipukul itu benar-benar terjadi kepada saya ketika ini.

“Apa pun, saya serah semuanya kepada Allah SWT dan doakan yang terbaik untuk kami,” katanya lagi.

Sekadar info, Uqasha dan Kamal mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.

Semalam, Uqasha memuat naik sebuah video dalam keadaan menangis apabila berkongsi insiden berdarah yang berlaku terhadap suaminya.

Katanya, Kamal dipukul berkali-kali oleh individu tidak dikenali di bahagian kepala, muka dan badan serta mengalami kecederaan parah sehingga perlu menjalani pembedahan.

Suspek juga dilaporkan sudah ditahan oleh pihak polis. Kamal juga kini difahamkan menerima rawatan di Hospital Besar Changi.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mereka mengikut acara Singapore Expo semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI