PUTRAJAYA – Menjawab teka-teki ramai mengenai status dirinya, aktres Sophia AlBarakbah mengakui sedang menjalin hubungan cinta dengan seorang doktor.
Menurut Sophia, jejaka tersebut tidak terlibat langsung dalam dunia seni sepertinya.
“Ya, teman lelaki saya seorang doktor dan tidak terlibat dalam industri seni.
“Saya seorang individu yang sangat menjaga privasi, tidak suka sangat berkongsi cerita sebegini kepada umum,” katanya kepada Kosmo! Online selepas Tonton Anugerah Drama Sangat 2023 (TADS2023) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini semalam.
Tidak berkongsi lanjut secara terperinci mengenai jejaka tersebut dan hubungan cintanya, namun Sophia menamakan teman lekakinya sebagai Mr. Doktor.
“Apabila sudah berkahwin, saya akan kongsi lebih kepada semua orang.
“Saya tak mahu cakap apa-apa lagi sekarang, doakan yang terbaik,” ujar pelakon drama Suamiku Lelaki Pendosa berkenaan.
Dalam pada itu, Sophia berkata, teman lelakinya antara individu yang memberi sokongan dan semangat ketika dirinya dihimpit dengan kontroversi cinta lokasi baru-baru ini.
“Dia dan keluarga antara individu yang memberi sokongan kuat kepada saya ketika itu.
“Malah, dia juga sangat memahami kerja saya. Dia dan keluarga adalah tulang belakang saya ketika ini,” ujarnya lagi.
Sejak kebelakangan ini, Sophia dilihat kerap berkongsi foto dan momen manis bersama teman lelaki dalam Instagram miliknya.
Tidak menyembunyikan wajah, dia juga dilihat semakin kerap hadir bersama teman lelaki ke acara-acara hiburan.
Sebelum ini, dia pernah menjadi bahan kecaman ramai apabila didakwa menyimpan perasaan terhadap aktor gandingannya dalam drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah, Aliff Aziz.
Perkara tersebut mencetuskan kemarahan isteri Aliff iaitu Bella Astillah sehingga mendedahkan tangkap layar perbualan WhatsApp bersama Sophia dalam media sosial.
Sekadar info, drama Suamiku Lelaki Pendosa lakonannya bersama Datuk Aaron Aziz diangkat sebagai Drama Terbaik pada TADS 2023.
Selain kategori tersebut, drama berkenaan turut membolot anugerah Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Datuk Aaron Aziz) dan Pelakon Antagonis Terbaik (Gambit Saifullah). – KOSMO! ONLINE