GEORGE TOWN – Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengumumkan akan bertanding 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
10 kerusi DUN yang bakal ditandingi itu adalah di kawasan pulau iaitu kerusi DUN Air Putih, Tanjung Bungah, Pulau Tikus, Kebun Bunga, Seri Delima, Sungai Pinang, Air Itam, Pantai Jerejak, Batu Maung dan Teluk Bahang manakala lima lagi kerusi yang bakal ditandingi parti itu adalah di kawasan Seberang Perai.
Timbalan Presidennya, Datuk Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, tumpuan penuh kali ini adalah Pulau Pinang bagi memberi saingan kepada DAP yang mendominasi negeri itu sejak sekian lama.
“Saya sendiri akan turun membantu kempen calon-calon PRM di Pulau Pinang kerana kita mahu memberi saingan kepada kerusi-kerusi DUN milik DAP dan yakin akan memenangi sekurang-kurangnya lima kerusi,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua PRM Negeri, Teh Yee Cheu.
Menurut Mohamad Ezam, matlamat PRM untuk meletakkan calon-calon daripada parti itu pada PRN adalah untuk mewujudkan pasukan pembangkang yang kuat di Pulau Pinang.
Sementara itu, Yee Cheu yang merupakan bekas ADUN Tanjung Bungah turut mengesahkan bakal bertanding mewakili PRM di kerusi DUN Air Putih melawan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng. – KOSMO! ONLINE