BANGKOK – Anggota-anggota polis menahan seorang wanita transgender atau mak nyah warga Thailand selepas dia memanjat tiang bendera dan mendedahkan payudaranya di hadapan Balai Polis Pattaya semalam, lapor portal berita Thaiger.
Dia dilaporkan mengalami masalah kesihatan mental dan pernah ditangkap pada masa lalu kerana mencuri.
Pegawai dari Balai Polis Mueang Pattaya melaporkan bahawa wanita transgender itu memanjat tiang setinggi 1.5 meter di hadapan anggota-anggota polis pada waktu tengah malam. Dia kemudian berdiri di atas tiang, mendedahkan payudaranya dan menjerit kepada orang yang lalu lalang, termasuk warga tempatan dan pelancong asing.
Ramai orang merakam video kejadian itu, manakala sebilangan yang lain cuba memujuknya untuk turun.
Mereka, memberi amaran bahawa tingkah lakunya berbahaya dan memalukan. Di sebalik rayuan tersebut, wanita transgender itu menolak dan menjerit kata-kata kesat kepada mereka yang cuba membantunya.
Dalam video itu, dia berkata: “Saya tidak gila! Datang dekat dan dengar apa yang saya mahu katakan! Tanya saya mengapa saya melakukan ini. Saya tidak kisah jika media melaporkan tentang saya.”
Pegawai polis kemudian campur tangan dan cuba meyakinkan wanita transgender itu untuk turun.
Bagaimanapun, dia enggan, dan akibatnya, seorang anggota polis terpaksa menarik kaki suspek untuk menurunkannya. Dia kemudian dibawa ke balai polis untuk disoal siasat.
Walaupun polis tidak mendedahkan identiti wanita transgender itu, mereka mengesahkan bahawa dia mempunyai sejarah masalah kesihatan mental dan telah ditangkap kerana mencuri.
Dia memberitahu polis bahawa dia datang ke balai polis untuk mencari keadilan, menegaskan bahawa dia tidak mencuri apa-apa daripada sesiapa.
Selepas menenangkannya, seorang anggota polis menghubungi saudara-mara mak nyah tersebut untuk menjemputnya.
Mereka tidak mengeluarkan sebarang pertuduhan terhadapnya. – AGENSI