fbpx

PM zahir ucapan tahniah buat Michelle Yeoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UCAPAN tahniah yang disalurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kejayaan dirangkul Tan Sri Michelle Yeoh pada anugerah Oscar pagi tadi.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Michelle Yeoh yang meraih trofi Oscar di Anugerah Akademi ke-95 di Los Angeles, Amerika Syarikat, hari ini.

Anwar berharap kejayaan anak Malaysia di pentas Hollywood terus menjadi sumber inspirasi kepada seluruh karyawan seni di negara ini.

“Saya utus tahniah buat tokoh budayawan dan seniwati Tan Sri Michelle Yeoh yang ditabal selaku Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Akademi Ke-95 (Oscars 2023) menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All at Once.

“Anak seni kelahiran Ipoh itu juga merupakan pelakon Asia pertama memenangi trofi utama dalam anugerah berprestij itu. Ternyata pencapaian ini amat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

“Besar harapan agar pencapaian ini akan terus memberi inspirasi kepada semua penggiat seni dan perfileman tempatan,” katanya menerusi Twitter.

Michelle bersaing rapat dengan Cate Blanchett (Tar) selain Andrea Riseborough (To Leslie), Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).

Pada awal tahun ini, bintang berusia 61 tahun itu membawa pulang trofi beberapa anugerah lain termasuk Anugerah Golden Globe dan Screen Actors Guild Awards (SAG).

Sementara itu, ramai rakyat Malaysia termasuk menteri serta personaliti sukan dan selebriti berkongsi rasa bangga mereka atas kejayaan aktres tersebut.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, mengucapkan tahniah kepada pelakon itu kerana memberi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Kasih ibu tiada batasnya. Saya menyaksikan momen Datin Janet Yeoh mendengar anaknya diumumkan sebagai pemenang Anugerah Akademi, pagi tadi. Detik yang sangat menyentuh hati,” katanya dalam Facebook.

Sementara ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pula berkata, pelakon itu mencipta sejarah dalam dunia hiburan apabila merangkul anugerah berprestij tersebut.

“Tahniah! Beliau juga menjadi rakyat Malaysia pertama dicalonkan dan menang dalam Anugerah Akademi. #proudmalaysian,“ katanya menerusi laman sosial.

Selain itu, ramai selebriti tanah air lain turut berbangga dan mengucapkan tahniah kepada Michelle kerana berjaya membawa pulang trofi anugerah tersebut antaranya Fazura, Nadia Brian, Hairul Azreen dan ramai lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI